Umat Islam mesti kuasai fakta sejarah – Dr. Zainur Rashid

dr zz 31 jan 13

ALOR SETAR, 31 Januari – Prof. Madya Dr. Zainur Rashid Zainuddin menekankan perlunya umat Islam menguasai fakta-fakta sejarah dan bukti-bukti pensejarahan apabila membincangkan isu-isu umat Islam sejagat.

Beliau berkata demikian ketika menyentuh kisah pengeboman beramai-ramai orang-orang Yahudi oleh askar Nazi Jerman pada suatu masa dahulu.

Dalam ceramah yang bertajuk “Agenda Zionis: Satu Ilusi” di Masjid Sultanah Bahiyah di sini, malam tadi, Dr. Zainur Rashid yang merupakan Perunding Aman Palestin menceritakan rentetan perjuangan pembebasan Palestin sebagai tanah milik umat Islam dari dahulu hingga sekarang. Beliau mengulas dengan terperinci bagaimana kekejaman Zionis yang merobek tanah suci Palestin mula terhakis sedikit demi sedikit akibat beberapa faktor dalaman dan luaran.

Menurut beliau, kebangkitan pimpinan Dr. Mursi dan Ikhwan Muslimin sebagai peneraju kerajaan Mesir serta bibit-bibit kejatuhan kerajaan rejim Basyar al-Asaad di Syria memberi kebimbangan besar buat Zionis yang mahu menguasai keseluruhan tanah Palestin untuk pembinaan negara Israel Raya.

Mesir dan Syria merupakan dua buah negara yang bersebelahan dengan negara haram Israel. Turut menjadi kegusaran Zionis ialah sokongan Turki dan masyarakat seluruh dunia terhadap isu kemanusiaan di Palestin tanpa mengira bangsa dan fahaman.

Di akhir ceramah, Dr. Zainur Rashid menyeru hadirin supaya mendidik anak-anak agar menjadi seperti Salahuddin al-Ayyubi yang tidak pernah ketawa kerana mahu membebaskan bumi Palestin, dan seperti pemuda-pemuda Briged al-Qassam yang hebat ibadah wajib dan sunat serta bercita-cita tinggi untuk syahid dalam membebaskan tanah air Palestin yang tercinta.

Selain berkhidmat sebagai aktivis Aman Palestin, Dr. Zainur Rashid juga merupakan Pakar Perbidanan Sakit Puan di Hospital Tuanku Jaafar dan Dekan di IMU Seremban, serta AJK ISMA Cawangan Seremban.

Ceramah berkenaan turut disiarkan secara langsung melalui laman U-Stream http://www.ustream.tv/channel/darulhadistv.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *