Umat Melayu Islam Diancam Agenda Penghapusan Identiti

KUALA LUMPUR, 8 Disember. – Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Ustaz Abdullah Zaik Abdul Rahman, menegaskan bahawa umat Melayu Islam kini terancam dengan agenda penghapusan identiti yang teruk dari segi agama, bahasa dan adat.

Demikian kenyataan beliau ketika menyampaikan ucaptama program Nadwah Fikriyah Nasional (NADI) ’12 bertajuk “Gerakan Islam Mendepani Muslim Moderat: Membangun Semula Kebangkitan Umat Islam Melayu”.

Menurut beliau, di kalangan orang Melayu sendiri tidak memahami hakikat pentingnya mempertahankan keperibadian Melayu dalam konteks perjuangan menegakkan Islam.

“Melayu kini dianggap hanya sebagai bangsa yang tidak jelas hujung pangkalnya.

“Mereka hanya membawa politik dan pemikiran yang tidak lagi menjadikan unsur Melayu penting dalam sistem politik moden,” sambung beliau.

Kata beliau lagi, hal ini terjadi kerana pengaruh fahaman demokrasi liberal telah meresap dalam pemikiran generasi Islam kini, termasuk juga para pemimpin Islam yang keliru dengan mafhum assobiyah.

Oleh itu katanya, umat ini perlu meningkatkan penghayatan Islam dan menjadikan Melayu sebagai pembawa risalah serta menjadikan Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan adat melayu sebagai nilai peradaban yang bernilai tinggi dan bertaraf antarabangsa.

NADI ’12 yang diadakan di Universiti Malaya dan merupakan anjuran Biro Tarbiyah Pusat ISMA ini telah berjaya menarik seramai 620 pimpinan ISMA dari lebih 20 cawangan di dalam dan luar negara.

Setiausaha Biro Tarbiyah Pusat (BTP), Ustaz Mohd Azizee Hassan ketika ditemui wartawan ISMA menyampaikan rasa penghargaan tidak terhingga kepada semua peserta yang telah memberikan komitmen untuk hadir.

Harapan beliau agar program ini dapat memberikan kesan positif kepada para peserta dan memahami betapa bahayanya agenda liberal kepada umat Islam serta bersungguh-sungguh memperjuangkan agenda ummah berlandaskan ketulenan fikrah dan manhaj para salafussoleh.

Salah seorang peserta, Ustaz Mohd Ali Abdullah yang juga merupakan Ketua Biro Tarbiyah ISMA Cawangan Kuantan ketika ditemuramah meyakini bahawa isi ucapan Presiden adalah penyelesaian kepada keadaan yang menimpa umat Islam masa kini dan berharap agenda yang ISMA ingin bawa disokong oleh masyarakat Melayu Islam.

Peserta lain iaitu Ketua Biro Pengkaderan ISMA Cawangan Kangar, Syed Mohd Aizuddin Tuan Sembak menyokong dan bersetuju dengan kenyataan Presiden serta menghargai kebijaksanaan cendekiawan Islam terdahulu yang menggariskan tiga definisi Melayu dalam menjadikan bangsa ini sebagai identiti kebangsaan yang mana Islam adalah terasnya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *