Untungnya para pemburu Lailatul Qadar

ustaz-fisol

ALOR SETAR, 14 Julai – “Golongan yang paling untung sekali di bulan Ramadan ini ialah mereka yang bersungguh-sungguh mencari Lailatulqadar,” kata Naib Yang di-Pertua Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) Alor Setar, Tuan Guru Haji Abdul Fisol bin Mohd Isa ketika menyampaikan kuliah pagi di Masjid Ar-Rahman Alor Merah semasa program Iktikaf Perdana Isma Alor Setar – Kubang Pasu, hujung minggu lalu.

Ujarnya pemburu Lailatulqadar bukanlah mereka yang hanya bersungguh-sungguh beribadah hanya di akhir Ramadan.

“Golongan ini ialah mereka yang telah melalui fasa rahmah dan fasa keampunan daripada bulan Ramadan dengan penuh istiqamah dan bertahap.

“Demikianlah Allah menciptakan fasa Ramadan yang berbeza-beza kerana kemampuan setiap manusia itu berbeza.

“Dengan istiqamah dan niat mencari ganjaran terbaik di bulan Ramadan, golongan pasti akan dimudahkan Allah untuk bersungguh-sungguh menelusuri fasa pembebasan daripada api neraka, termasuklah mendapat ganjaran Lailatul Qadar,” katanya lagi.

iktikaf

Menurutnya lagi, taqwa sebagai matlamat akhir Ramadan juga diperoleh melalui kesungguhan dan istiqamah beramal ibadat di bulan mulia tersebut.

“Kita mulakan fasa pertama Ramadan untuk mendapatkan rahmah dan kasih sayang Allah.

“Dengan kasih sayang Allah, kita akan menjadi umat yang satu dan mendapat keampunan daripada Allah, seterusnya akan dibebaskan daripada seksa api neraka,” ujarnya lagi.

iktikaf-2

Dalam program Iktikaf Perdana Isma itu, ahli-ahli Isma di utara Kedah berpeluang beriktikaf dan berkampung bersama masyarakat sekitar mukim Alor Merah selain memenuhkan hari-hari terakhir Ramadan dengan bertadarus, bertahajud dan qiamullail.

Oleh Fakhruddin Afif Fauzi

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *