Usaha dakwah Islamiah masih jauh – Ustaz Fisol

DSCN0112

ALOR SETAR, 28 April – Naib Yang Dipertua Isma Cawangan Alor Setar, Tuan Guru Haji Abdul Fisol bin Mohd Isa menegaskan usaha dakwah Islamiah pada masa kini masih jauh dan belum setanding dengan apa yang pernah dialami Rasulullah s.a.w. dan para sahabat.

Ujarnya, umat Islam khususnya mereka yang berkecimpung dalam gerakan dakwah mesti menghayati Israk dan Mikraj bukan sekadar peristiwa itu semata-mata, tetapi rentetan peritiwa lain yang telah berlaku sebelumnya.

“Sebenarnya Israk dan Mikraj adalah satu peristiwa terbesar yang berlaku kepada Rasulullah s.a.w. dan orang-orang Islam di Mekah setelah berbagai-bagai seksaan yang dialami.

“Cabaran pertama di mana Rasulullah s.a.w. dan para sahabat alami ialah peristiwa pemboikotan orang-orang kafir Quraisy terhadap umat Islam,” katanya yang lebih mesra dipanggil Ustaz Fisol.

Menurutnya, tempoh pemboikotan yang berlangsung selama 3 tahun itu amat memeritkan.

“Mereka tidak dibenarkan berurus niaga membeli makanan, mereka hanya makan kulit-kulit kayu, anak-anak kecil pula menangis kelaparan kerana ibu-ibu mereka kekeringan susu.

DSCN0114

Dalam peristiwa pemboikotan itu, Abu Talib dan Khadijah memainkan peranan amat besar bagi Rasulullah s.a.w.

“Abu Talib sentiasa menjaga Rasulullah s.a.w siang dan malam agar baginda tidak diapa-apakan oleh orang-orang kafir Quraisy manakala Khadijah seorang isteri yang sentiasa menjadi penghibur dan pengubat kesedihan Rasulullah s.a.w ketika tempoh pemboikotan itu.

“Kematian mereka berdua tidak lama selepas itu amat memberi kedukaan kepada Rasulullah s.a.w, bayangkanlah ahli-ahli keluarga kita yang amat rapat dan sentiasa membantu memudahkan urusan kita pergi serentak,” jelas Ustaz Fisol lagi.

Selain itu, Rasulullah s.a.w turut menerima dugaan hebat sewaktu berusaha menyampaikan dakwah di Taif.

“Baginda setiap hari dihalau keluar oleh orang-orang Taif, hingga kemuncaknya penduduk Taif termasuk kanak-kanak membaling batu ke arah baginda hingga luka berdarah,” ujarnya.

DSCN0109

“Dengan cabaran, dugaan, kesedihan dan penghinaan musuh yang bertalu-talu, Rasulullah s.a.w. tidak berhenti meneruskan dakwah dan menjaga geraka dakwah, sehinggalah Allah s.w.t. kurniakan pengalaman Israk dan Mikraj kepada baginda sebagai pengubat kesedihan, penghormatan dan pembakar semangat untuk terus mengajak manusia kepada Islam,” jelasnya lagi.

Ustaz Fisol berkata demikian dalam program Usrah Umum anjuran Isma Alor Setar di sini, semalam.

Lebih 100 orang hadir dalam program yang bertajuk Kedudukan Israk dan Mikraj Dalam Perjuang Rasulullah s.a.w. itu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *