Utamakan kesatuan umat Islam keseluruhannya

Kenyataan Majlis Ulamak ISMA (MUIS) Mengenai Isu Semasa

بسم الله الرحمن الرحيم

Setiap Nabi diutuskan untuk menyeru agar manusia menyembah Allah S.W.T. dan tidak menyekutukannya. Walaupun berselang masa yang lama antara seorang Nabi dengan seorang yang lain, dengan kepelbagaian dari aspek suasana dan keadaan, misi mereka semua tetap sama.

وَلَقَدْ بَعَثْنَا فِي كُلِّ أُمَّةٍ رَسُولًا أَنِ اُعْبُدُوا اللَّهَ وَاجْتَنِبُوا الطَّاغُوتَ فَمِنْهُمْ مَنْ هَدَى اللَّهُ وَمِنْهُمْ مَنْ حَقَّتْ عَلَيْهِ الضَّلالَةُ

Dan sesungguhnya Kami telah mengutus dalam kalangan tiap-tiap umat seorang Rasul (dengan memerintahkannya menyeru mereka): “Hendaklah kamu menyembah Allah dan jauhilah Taghut”. Maka di antara mereka (yang menerima seruan Rasul itu), ada yang diberi hidayah petunjuk oleh Allah dan ada pula yang berhak ditimpa kesesatan. (Surah an-Nahl: 36)

Penyembahan kepada Allah S.W.T. yang mereka seru itu bersifat menyeluruh dan mutlak. Matlamat terakhir seruan ialah agar semua manusia tunduk kepada Allah S.W.T., sama ada dengan memeluk agama Islam selaku penganut yang taat dan berjaya mendapatkan kebebasan hakiki, mahupun selaku rakyat bukan Islam yang setia dan patuh kepada sistem pemerintahan Islam yang luas seluas bumi yang dimakmurkan manusia.

Matlamat yang agung itu hanya dapat dicapai melalui dokongan manusia yang beriman kepada Allah S.W.T. serta diikat dengan ikatan persaudaraan atas dasar akidah yang satu. Sejarah mencatatkan bahawa kekuatan keimanan dan kesatuan golongan Muhajirin dan Ansar telah menjadi tulang belakang dakwah Baginda S.A.W. dalam menarik sokongan baru, mendidik mualaf dan menjadi benteng di barisan hadapan ketika mengharungi pertembungan dengan musuh musyrikin, Yahudi dan munafikin.

Ulamak adalah pewaris Nabi. Perjuangan Nabi-nabi menyeru manusia agar menyembah Allah S.W.T. wajib diteruskan dengan matlamat agung yang sama dan bersandarkan kekuatan yang sama; orang-orang beriman yang bersatu.

Berasaskan petunjuk Rabbani dalam seerah perjuangan Baginda S.A.W. serta Nabi-nabi terdahulu, Majlis Ulamak Ikatan Muslimin Malaysia menyeru rakan-rakan seperjuangan yang mempunyai matlamat agung yang sama seperti di atas agar mengutamakan isu perpaduan, kesatuan dan kesepakatan umat Islam keseluruhannya mengatasi apa juga kepentingan yang lain, termasuklah kepentingan pakatan politik kepartian dengan bukan Islam.

Sehubungan itu, noktah-noktah berikut mesti diberi perhatian:-

Perpecahan umat Islam dalam politik mutakhir ini sudah sampai ke tahap kehilangan kuasa tawar-menawar, sedangkan ia satu kekuatan asasi bagi mempertahankan kedudukan agama Islam dalam negara kita sekarang ini, apatah lagi untuk mendepani asakan hebat pelbagai bentuk pemikiran yang bertentangan dengan syariat Islam seperti liberalisme dan penjalaran pengaruh gerakan batiniah. Kewajiban menegakkan Islam dalam bentuknya yang sempurna tidak mungkin dapat dilaksanakan tanpa kesatuan ini. Oleh itu, isu kesatuan dan kesepakatan umat Islam mestilah dijadikan agenda utama dan pertama, berdasarkan kaedah  ما لا يتم الواجب إلا به فهو واجب .

Pada asas syaraknya, kewujudan apa juga parti politik dan badan yang menyatakan dalam perlembagaannya bahawa matlamat penubuhannya ialah untuk memperjuangkan ideologi liberal demokrasi Barat adalah bertentangan sama sekali dengan akidah Islam yang menuntut ketundukan total pada ketuanan syarak. Menganggotai parti dan badan yang bermatlamat sebegitu adalah haram, apatah lagi bertanding di atas tiketnya. Sebarang kerjasama juzie dengan parti dan badan tersebut untuk tujuan-tujuan sejagat dan kemanusiaan mestilah dilakukan dalam keadaan amat cermat dan berhati-hati. Begitu juga, sebarang pakatan politik kepartian dengan mereka untuk merebut kuasa pemerintahan dengan kedudukan parti Islam yang tidak dominan adalah lebih mendatangkan kemudaratan daripada kemaslahatan.

Terdapat pihak yang dilihat kurang berhati-hati menggunakan istilah-istilah tertentu sehinggakan  istilah-istilah ini digunakan pada tempatnya yang tidak tepat.  Antaranya ialah istilah-istilah seperti Sulh yang bermakna perjanjian damai setelah berperang, Ahdul Aman yang bermakna suatu jaminan keselamatan yang diberikan kepada rakyat asing bukan Islam di dalam negara Islam, Ahdu (Aqdu) Zimmah yang merupakan konsep kerakyatan bukan Islam dalam negara Islam, Hudnah yang memberi erti gencatan senjata, manakala tahaluf siyasi yang memberi makna pakatan politik yang membawa maksud kerjasama untuk mencapai sesuatu matlamat tertentu adalah berbeza maksudnya dengan istilah-istilah di atas. Ia mempunyai asas pendalilan yang berbeza serta syarat-syarat yang tersendiri yang mestilah dihalusi sebelum ianya dibuat.

Islam atau tidak Islam sesebuah organisasi pada asasnya dilihat pada perlembagaan dan tujuan organisasi itu ditubuhkan. Manakala tindakan sesetengah pemimpin yang menolak Islam boleh ditafsirkan dengan pelbagai tafsiran, selagi mana tiada kesepakatan di kalangan semua pemimpin untuk menentang Islam secara lantang dan terus terang, apatah lagi terdapat banyak juga usaha-usaha yang telah dan sedang dilakukan untuk mempertahankan kedudukan Islam sebagai agama negara seperti pemerkasaan mahkamah syariah dan sebagainya. Walaupun ianya tidaklah memberi maksud bahawa pengamalan tersebut adalah sempurna, namun ianya sedikit sebanyak memberi indikasi bahawa kerjasama sesama Islam adalah dapat diusahakan dengan mereka, berdasarkan kepada garis panduan tertentu.

Kepentingan umat keseluruhannya hendaklah menjadi ganti kepada kepentingan parti. Setiap wakil rakyat hendaklah membawa suara kebenaran dan kepentingan umat, mengatasi kepentingan politik kepartian yang dianggotainya. Mengutamakan kepentingan parti mengatasi suara kebenaran dan kepentingan umat merupakan satu jenayah asobiah jahiliyah yang ditegah oleh Nabi S.A.W.

Sistem pemerintahan dan pemerintah yang korup mesti digantikan dengan sistem pemerintahan dan pemerintah Islam. Setiap umat Islam adalah berkewajipan untuk berusaha ke arah tersebut sedaya upaya kemampuannya. Kita perlu menyedari bahawa keadilan dan kebebasan yang hakiki hanyalah pada Islam. Keadilan dan kebebasan yang diimpikan oleh aliran liberal hanya akan menjerumuskan umat Islam khususnya dan seluruh rakyat umumnya ke era kecelaruan pemikiran dan kebebasan individu tanpa batas. Ia tidak lain dan tidak bukan hanyalah satu bentuk perhambaan kepada hawa nafsu dan kehendak manusia yang hanya akan menjerumuskan umat manusia ke lembah kehancuran. Hanya petunjuk wahyu sahajalah yang menjadi penyelamat sebenar umat manusia daripada lembah kehancuran itu.

وبالله التوفيق

Disediakan oleh:
Ustaz Mohd Hazizi Ab. Rahman
Jurucakap Majlis Ulamak ISMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *