Utamakan tarbiyah, hindari permusuhan – Ustaz Fisol

usrah umum 5 nov

ALOR SETAR, 6 November – Ustaz Haji Abdul Fisol bin Mohd Isa, Ketua Perhubungan ISMA Negeri Kedah menyeru umat Islam agar mengutamakan pentarbiyahan diri dan menghindari permusuhan yang merugikan Islam.

Beliau berkata demikian dalam program Usrah Umum bertajuk “Pembukaan Kota Madinah” di Restoran Rojam di Jalan Sungai Mati, baru-baru ini.

Antara isi menarik daripada kuliah yang disampaikan ialah: “Pada zaman Rasulullah s.a.w. dan Khalifah Abu Bakar r.a. memimpin umat Islam, mencari tarikh permulaan untuk takwim Islam bukanlah perkara pokok kerana tuntutan tarbiyah dan dakwah lebih utama.”

Selain itu, Ustaz Fisol turut menerangkan bahawa terdapat perbezaan antara isi perjanjian Aqabah Pertama dan Aqabah kedua di antara Rasulullah s.a.w. dengan orang-orang Islam dari suku Aus dan Khazraj adalah kerana berlaku peningkatan kefahaman dan pengamalan tarbiyah Islam dalam diri mereka.

“(Namun begitu) Yahudi cukup tidak suka apabila Aus dan Khazraj mula berdamai setelah mereka mengenal tarbiyah Islam. Mereka mengungkit kisah-kisah peperangan lalu di kalangan Aus dan Khazraj sehingga membibitkan lagi api permusuhan di kalangan mereka.” ujar Ustaz Fisol.

Beliau mengakhiri kuliah dengan satu penegasan bahawa dakwah adalah perkara pokok yang mesti dilaksanakan oleh setiap umat Islam.

“Untuk menjadikan dakwah kita lebih agresif, (kita) kena selesaikan dahulu isu-isu dalaman (akidah dan pengamalan Islam) di kalangan kita,” tegas beliau lagi.

Penganjuran Usrah Umum ISMA Alor Setar ini yang dibuat secara santai nyata menunjukkan bahawa kuliah agama tidak hanya layak disampaikan di masjid dan surau, malah di kedai makan. Program kali ini berjaya menghimpunkan lebih 100 orang hadirin dari sekitar Alor Setar dan Pokok Sena.

Digam daripada menyampaikan kuliah agama di masjid dan surau sekitar Alor Setar oleh pihak-pihak tertentu semenjak kempen Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 yang lalu tidak menghalang semangat Ustaz Fisol untuk terus menyampaikan ilmu kepada masyarakat setempat.

Selain lokasi penyampaian kuliah yang unik, mukaddimah dan isi kuliah yang disampaikan juga lain daripada yang lain kerana mempunyai nilai-nilai tarbiyah dan fikrah Islami yang cukup banyak.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *