Yayasan Ikhlas, Isma Alor Setar sumbang RM32,000 kepada pelajar miskin di Sik

GULAU (SIK), 19 Dis – Pertubuhan Yayasan Ikhlas dan Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) Cawangan Alor Setar menyerahkan sumbangan bernilai RM32,000 kepada 165 pelajar miskin di Kampung Gulau di sini, Sabtu lalu.

Sumbangan berupa wang tunai, pakaian dan kelengkapan persekolahan disampaikan sendiri oleh Pengurus Besar Yayasan Ikhlas, Ir. Kamaruddin Kassim kepada pelajar-pelajar terbabit.

Menurut Yang Dipertua Isma Cawangan Alor Setar, Dr. Zulkifli Yusof, gerakan mengumpul dana bagi menjayakan projek ini telah bermula sejak sebulan lalu daripada ahli-ahli Isma dan rakan-rakan terdekat khasnya.

“Sumbangan barangan seperti pakaian sekolah baru dan terpakai, beg sekolah dan pakaian dewasa turut diterima daripada masyarakat yang prihatin melalui ‘Dropbox’ yang diletakkan di beberapa pasaraya sekitar Alor Setar dan Jitra.

“Sumbangan daripada masyarakat, kami salurkannya semula kepada masyarakat yang memerlukan,” katanya.

Dalam pada itu, Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang Daerah Sik, En. Shahmie bin Noor Mohamad mengakui pelajar-pelajar yang menerima sumbangan sememangnya dari keluarga yang cukup susah.

“Selain miskin, ramai daripada kalangan mereka (penerima sumbangan) terdiri daripada anak-anak yatim dan yatim piatu yang dijaga oleh saudara mara,” ujarnya yang sudi menyediakan perkarangan rumahnya sebagai lokasi majlis.

Selain wang tunai dan keperluan persekolahan, setiap pelajar turut menerima senaskhah Al-Quran dan wang saku sumbangan Yayasan Nur Karangkraf.

Selain Sik, Yayasan Ikhlas mensasarkan sumbangan bantuan persekolahan kepada 2,000 pelajar miskin menjelang awal tahun 2017 di beberapa lokasi lain antaranya di sekitar Kelantan, Johor, Perak dan Perlis.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *