Zina, LGBT semakin menular di sekolah, pusat pengajian tinggi

pn aishah sntz

ALOR SETAR, 9 Jan – Perlakuan zina dan golongan LGBT semakin menular di institusi sekolah dan pengajian tinggi.

Hal ini didedahkan oleh Anggota Jawatankuasa Isma Cawangan Kubang Pasu, Puan Siti Aishah Hamid dalam Program Say No To Zina di Kolej Pembantu Perubatan Alor Setar, petang tadi.

Ujarnya, antara penyebab utama berlakunya penularan gejala ini ialah ibu bapa yang gagal melaksanakan tanggungjawab mendidik anak-anak.

“Ada sesetengah ibu bapa bukan sahaja gagal mempedulikan apa anak-anak buat di sekolah, dengan siapa mereka berkawan dan apa yang mereka tonton di internet dan sebagainya, malah ada pula yang seolah-olah menggalakkan anak-anak berlaku zina.

“Berdasarkan pengalaman, mereka (ibu bapa) ada yang membenarkan kawan-kawan lelaki kepada anak gadis mereka tidur bersama di rumah,” ujarnya yang juga merupakan Kaunselor Panel LPPKN Negeri Kedah.

Justeru, beliau mengingatkan para ibu bapa agar sentiasa mengawasi anak-anak mereka walaupun belajar di sekolah agama dan bertudung litup.

“Saya pernah melihat seorang bapa jatuh pengsan apabila mengetahui anak lelakinya tampak soleh dan elok bacaan al-Qurannya telah bergelumang dengan seks songsang sejak sekian lama dalam satu sesi kaunseling, katanya.

Puan Siti Aishah turut mengupas betapa perlunya ‘menjantankan’ anak-anak lelaki yang bersifat lembut yang boleh menyebabkan wujudnya golongan LGBT sekiranya tidak dibendung.

Menurutnya, golongan lelaki lembut mesti dibina sifat kelelakian dan keyakinan diri.

“Jangan biarkan mereka seronok bergelumang dengan alatan solek, kasut tumit tinggi dan beg berjenama, produk pencerah kulit dan sebagainya,” ujarnya.

Program anjuran I-Medik Kedah dan Pemuda Isma Alor Setar yang dihadiri lebih 200 orang peserta itu turut mendapat kerjasama sepenuhnya daripada Kolej Pembantu Perubatan Alor Setar.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *