Sewaktu Sultan Kedah menyerahkan Pulau Pinang pada 1786, Seberang Perai masih lagi berada di bawah Kesultanan Kedah. Tujuan utama penyerahan Pulau Pinang adalah supaya pihak Syarikat Hindia Timur British melindungi Kedah daripada serangan kerajaan Siam dan juga Burma.Walaubagaimana pun apabila Kedah diserang oleh Siam pada 1821, Sultan Kedah berasa amat kecewa kerana pihak British langsung tidak membantu.Baginda telah melakukan sekatan kepada Pulau Pinang di samping mengarahkan serangan kepada kedudukan British di Pulau Pinang melalui muara Sungai Perai.Walaubagaimana pun serangan demi serangan yang dijalankan gagal menewaskan pihak British dan surat arahan serangan itu akhirnya jatuh ke tangan British.
Batu Terat ini terletak di Kampung Bukit Semetol Pinang Tunggal dan menjadi batu tanda sempadan antara Negeri Kedah dan Pulau Pinang. Sempena pembinaan batu sempadan tersebut salah sebuah kampung di sebelah Kedah telah dinamakan sebagai Kampung Terat Batu. Dahulu kedudukan Batu Terat ini agak jauh di tengah bendang tetapi kerja kerja penambakan tebing penebat banjir telah menyebabkan Batu Terat ini berada betul betul di tepi tebing Sungai Muda. Walaupun Pulau Pinang dan Seberang Perai asalnya adalah tanah milik kedah tetapi di inskripsi batu terat tertulis dengan gah perkataan “British & Siamese Boundry”. Perkataan Kedah langsung tidak disebut sekaligus menidakkan kekuasaan Kedah sebagai pemilik asal sebaliknya Siam pula disebut sebagai pemilik tanah ini.
Ironisnya Bukit Tunggal yang mempunyai nama seakan Pinang Tunggal telah menjadi tempat untuk pihak British meletakkan Batu Tanda Sempadan berinskripsi terakhir. Pada waktu itu sempadan Seberang Perai atau Province Wellesley adalah menggunakan Sungai Muda dan juga Sungai Krian sahaja dan melibatkan negeri Kedah yang terletak di bawah naungan kerajaan Siam.
Walau bagaimanapun, sekiranya dilihat sempadan Seberang Perai sekarang terdapat satu jaluran tanah diseberang Sungai Krian yang menjadi sebahagian Seberang Perai.Sebenarnya tanah ini telah diberikan oleh Kesultanan Perak selepas perjanjian Pangkor pada tahun 1874. Kawasan itu kini lebih dikenali sebagai Transkrian.
0 Comments